Had umur penghantar bermotosikal akan diturunkan dari 21 kepada 18 tahun – Menteri Pengangkutan

Kerajaan Malaysia bakal menurunkan had umur minima untuk penghantar bermotosikal dari 21 tahun buat masa sekarang kepada 18 tahun, lapor Free Malaysia Today.

Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong, langkah itu adalah untuk membolehkan lebih ramai belia mempunyai pilihan memperoleh pendapatan tambahan melalui perkhidmatan p-hailing dan platform penghantaran barangan lain.

“Pindaan itu akan dibentangkan pada persidangan Parlimen akan datang. Ini membolehkan golongan muda Malaysia memperoleh pendapatan tambahan atau mungkin mempertimbangkan kerjaya dalam ekonomi gig,” katanya kepada portal berita berkenaan.

Jumlah penghantar e-hailing bermotosikal dilaporkan menurun bulan lalu, di mana 25% daripada mereka telah meninggalkan perkerjaan tersebut.

Menurut naib presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia Abdul Hakim Abdul Rani, ia berikutan pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi selepas Malaysia beranjak ke fasa peralihan ke endemik, menyebabkan ramai penghantar-penghantar berkenaan kembali melakukan kerja asal mereka, serta penurunan kadar tempahan penghantaran khususnya pada waktu puncak.

FMT turut melaporkan bahawa rombakan yang dibuat pada had umur penghantar bermotosikal ini merupakan sebahagian dari banyak lagi cadangan yang akan dibentangkan oleh kementerian pengangkutan, termasuk pelbagai rombakan penting.

Ia termasuk perkara lain seperti mewajibkan pemandu bas persiaran untuk mempunyai lesen vokasional seperti mana pemandu bas lain, serta membolehkan (Used Car Dealer-UCD) memiliki pemilikan kenderaan buat sementara waktu sambil mencari pembeli baharu dan memastikan hak pengguna dilindungi.

The post Had umur penghantar bermotosikal akan diturunkan dari 21 kepada 18 tahun – Menteri Pengangkutan appeared first on Paul Tan's Automotive News.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published.