Honda akan lancar sekurang-kurangnya 10 motosikal elektrik menjelang 2025 – bergantung kepada pasaran

Dalam satu pembentangan yang dibuat berkenaan perniagaan motosikal, Honda telah mendedahkan bahawa mereka akan melancarkan 10 atau lebih model motosikal elektrik menjelang 2025 dan penawarannya adalah bergantung kepada pasaran.

Bila model pertama di dalam senarai ini akan dilancarkan masih belum diberitahu, tetapi salah satu slaid yang ditunjukkan ada menyatakan bahawa bagi pasaran China, Asia, Eropah dan Jepun, lima model yang diletakkan dalam kategori Electric Moped (EM) dan Electric Bike (EB) akan diperkenalkan antara tahun 2022 hingga 2024.

Kemudiannya antara tahun 2024 hingga 2025, dua lagi model Commuter EV kegunaan persendirian akan diperkenalkan di Asia, Eropah dan Jepun. Apabila berkata tentang kategori motosikal elektrik ini, Honda menetapkan bahawa EB adalah kenderaan dua roda yang mempunyai laju maksimum 25 km/j, EM pula boleh mencecah 50 km/j manakala EV boleh mencatat lebih daripada 50 km/j.

Daripada 10 model yang dinyatakan ini, sebahagian besarnya mempunyai bentuk seperti skuter, dengan platform kaki yang luas, tetapi ini tidak bermakna Honda akan mengabaikan motosikal jenis lain apabila menggunakan penggerak elektrik.

Satu lagi kategori yang dinyatakan adalah FUN EV, di mana empat model dalam kategori ini akan dilancarkan untuk pasaran Jepun, Amerika Syarikat dan Eropah, antara tahun 2024 hingga 2025. Jika gambar di dalam slaid itu memberikan bayangan model sebenar, ia melibatkan motosikal yang berbentuk motocross untuk kanak-kanak, naked, cruiser serta skuter adventure (seperti X-ADV).

Perniagaan motosikal elektrik bukanlah betul-betul baru bagi Honda kerana sekarang pun mereka sudah ada tiga model motosikal elektrik, yang dijual untuk pasaran China, serta beberapa negara lain seperti India, Vietnam, Thailand dan Jepun untuk kegunaan syarikat. Selain daripada itu, Honda juga sudah memulakan pengeluaran model Benly:e di Thailand sejak September lalu.

Bagi semua motosikal elektrik ini, Honda menyatakan bahawa ia akan menggunakan pakej yang terdiri daripada bateri, Power Control Unit (PCU) serta motor, dan mereka dalam usaha untuk menghasilkan bateri yang boleh ditukar (swappable batteries) mengikut standard yang telah dipersetujui oleh empat pengeluar gergasi dari Jepun.

Turut dinyatakan adalah pembangunan perisian untuk motosikal elektrik ini, dengan ia nanti boleh menghasilkan servis ketersambungan (Honda RoadSync) yang bukan sahaja dapat memaparkan jarak gerak, tempat mengecas serta sistem servis sokongan, tetapi juga sambungan dengan kenderaan Honda lain di atas jalan.

Apabila ditanya tentang harga model elektrik ini, wakil Honda yang memberi pembentangan tidak dapat menyatakannya secara tepat, tetapi setakat menyatakan bahawa ia tidak akan sama seperti model yang menggunakan enjin pembakaran dalaman (mungkin sedikit lebih mahal), tetapi masih berada dalam lingkungan mampu milik.

The post Honda akan lancar sekurang-kurangnya 10 motosikal elektrik menjelang 2025 – bergantung kepada pasaran appeared first on Paul Tan's Automotive News.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published.