Honda Malaysia panggil semula City, City Hatchback, HR-V dan BR-V; MY2020-2022, hanya 1,527-unit terlibat

Honda Malaysia baru sahaja mengeluarkan kenyataan untuk memanggil semula sejumlah 1,527 unit kenderaan yang telah dijual kepada pelanggan, merangkumi model City, City Hatchback, HR-V dan BR-V MY2020 hingga MY2022. Unit-unit tersebut dipanggil semula kerana dua masalah yang berbeza.

Kumpulan pertama melibatkan sejumlah 1,068 unit Honda City MY2021 dan City Hatchback MY2022. Masalah pada kenderaan dalam kumpulan ini adalah melibatkan nat terminal pada unit alternator (alternating current generator atau ACG) yang tidak diikat mengikut spesifikasi tork yang ditetapkan.

Honda Malaysia akan membuat pemeriksaan dan mengetatkan semula nat terminal kesemua kenderaan yang dipanggil semula ini. Sekiranya nat tersebut longgar, ia akan menyebabkan sambungan yang tidak elok terhadap pendawaian dan mungkin bateri tidak dapat dicas semula sebaiknya, menyebabkan kereta akan kehilangan kuasa elektrik seterusnya enjin mungkin mati ketika dipandu dan tidak dapat dihidupkan semula.

Manakala kumpulan kedua yang terdiri dari sejumlah 343-unit HR-V MY2020 dan 116-unit BR-V MY201, panggilan semula ini akan melibatkan pemeriksaan semula terhadap bolt wayar bumi yang mungkin tidak diikat dengan ketat. Sama seperti masalah pada City tadi, bolt wayar bumi yang longgar mungkin akan menyebabkan bateri tidak dapat dicas semula dengan baik, seterusnya enjin mungkin akan mati ketika dipandu serta tidak boleh dihidupkan kembali.

“Honda Malaysia memohon maaf atas kesulitan yang dialami oleh pelanggan yang terjejas dan memberi jaminan bahawa semua model semasa yang sedang diproduksi dan dijual tidak terjejas dalam panggilan semula produk ini. Sehingga hari ini, tiada insiden kemalangan atau kecederaan yang disebabkan oleh isu ini dilaporkan di Malaysia,” tulis Honda Malaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Syarikat tersebut turut menambah bahawa panggilan semula ini perlu dilakukan kerana keselamatan pelanggan adalah keutamaannya. “Honda Malaysia akan terus mengekalkan ketelusan dan kawalan ketat untuk pelanggan,” tambah kenyataan itu lagi.

Semua pelanggan terjejas akan dimaklumkan melalui surat, yang akan disertakan sekali butiran berkenaan panggilan semula berkenaan. Honda Malaysia turut menggesa semua pelanggan yang terjejas untuk menghubungi mana-mana pengedar sah Honda untuk membuat temu janji setelah menerima surat berkenaan, agar kenderaan mereka dapat diperiksa dan dibaiki jika perlu, tertakluk kepada ketersediaan alat ganti.

Pemeriksaan, pembaikan dan penggantian bahagian yang terjejas adalah percuma dan semua kos berkaitan aktiviti panggilan semula ini akan ditanggung sepenuhnya oleh Honda Malaysia. Jika tidak pasti sama ada kereta Honda anda terlibat atau tidak dalam panggilan semula ini, anda boleh hubungi Honda Malaysia menerusi talian bebas tol 1-800-88-2020.

The post Honda Malaysia panggil semula City, City Hatchback, HR-V dan BR-V; MY2020-2022, hanya 1,527-unit terlibat appeared first on Paul Tan's Automotive News.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published.