Land Rover Defender 130 2023 diperkenal – SUV besar dengan 8 tempat duduk dewasa, 340 mm lebih panjang

Meskipun Defender yang diperkenal sebelum ini sudah nampak cukup besar, Land Rover menunjukkan mereka boleh pergi satu tahap lebih tinggi lagi apabila memperkenalkan Defender 130, iaitu satu versi yang menyediakan lapan tempat duduk untuk dewasa.

Asalnya, jika mengikut model Defender klasik, nama 130 itu adalah merujuk kepada jarak roda yang lebih panjang, tetapi bagi Defender 130 baru ini, jarak rodanya masih lagi sama dengan Defender 110, iaitu 3,022 mm. Penambahan tempat duduk itu dapat dibuat cuma melalui badan yang lebih panjang. Tinggi dan lebarnya juga masih tidak berubah.

Dengan semua tempat duduk tegak, anda masih disediakan dengan ruang simpanan barang 389 liter, sementara apabila baris paling belakang dilipat, ia menjadi 1,232 liter. Untuk lebih besar, tempat duduk baris kedua juga boleh dilipat, menjadikan ruang simpanannya 2,291 liter. Turut disediakan bagi Defender 130 ini adalah versi lima tempat duduk yang menyediakan ruang barang 1,329 liter apabila tempat duduk tegak dan menjadi 2,516 apabila baris kedua dilipat.

Menurut Land Rover, tempat duduk baris ketiga pada Defender 130 ini cukup lebar untuk tiga orang dewasa, manakala bumbung yang rata pula memberikan kelegaan pada kepala. Menjadikan keadaan lebih selesa adalah tingkap yang luas serta bumbung panoramik besar, yang diberikan secara standard.

Kemudahan lain yang disediakan untuk penumpang adalah termasuk perehat tangan berlapik, ruang simpanan bersepadu, soket pengecas USB-C serta tambahan corong udara. Defender 130 ini juga adalah satu-satunya Defender yang ditawarkan dengan pilihan pengawal pendingin hawa empat zon automatik, bersama kemampuan untuk dipasang dengan lima cagak ISOFIX.

Selain badan yang lebih panjang di belakang, bahagian lain pada Defender 130 ini adalah sama sahaja dengan Defender lain. Pilihan yang disediakan khas untuknya adalah warna Sedona Red serta Extended Bright Pack yang menambah kemasan warna Ceres Silver Satin di bahagian bawah keseluruhan badan. Rel bumbung warna hitam serta rim 20 inci disediakan secara standard, sementara plet corak diamond atas bonet dan sirip udara di fender juga menggunakan warna Ceres Silver.

Di dalam, papan pemukanya telah dipasang dengan skrin sesentuh melengkung 11.4 inci secara standard, disambung dengan sistem infotainmen Pivi Pro sama seperti Defender V8, bersama sistem what3words untuk input navigasi. Pilihan lain yang disediakan untuk bahagian dalam adalah seperti pengawal corong pendingin hawa Noble Chrome, gril pembesar suara Ceres Silver serta kemasan kayu Natural Light Oak.

Untuk enjin, pilihannya adalah sama seperti Defender lain (kecuali V8), dan kesemuanya adalah enjin enam silinder 3.0 liter hibrid ringkas dengan starter-generator 48 volt. Versi petrol P300 menghasilkan 300 PS dan 470 Nm tork, manakala P400 berkemampuan 400 PS dan 500 Nm. Bagi model D250 pula, ia boleh menghasilkan 250 PS dan 600 Nm, manakala D300 berkemampuan 300 PS dan 650 Nm.

Demi memberikan kemampuan meredah jalan lasak, Defender didatangkan dengan transmisi automatik lapan kelajuan ZF, Intelligent All-Wheel Drive (iAWD) serta suspensi udara elektronik dengan penyerap adaptif. Semua pergerakan suspensi ini dikawal oleh sistem Terrain Response.

Badan yang panjang di belakang biasanya tidak begitu baik untuk pemanduan offroad, dan disebabkan itu, Land Rover telah menaikkan sedikit bahagian itu supaya sudut mendongaknya dapat menjadi 28.5 darjah (untuk D90 ia adalah 40 darjah). Sama seperti Defender lain, Defender 130 ini dibina atas platform D7x yang dikatakan tiga kali kuat berbanding casis body-on-frame yang lain. Kemampuan menundanya boleh mencapati 3,000 kg.

The post Land Rover Defender 130 2023 diperkenal – SUV besar dengan 8 tempat duduk dewasa, 340 mm lebih panjang appeared first on Paul Tan's Automotive News.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published.