Lori rempuh 11 kereta di lampu isyarat di Shah Alam

Ini kejadian yang kerap juga berlaku; barisan kereta yang sedang dalam trafik berhenti dirempuh oleh lori dari belakang. Kali ini ia melibatkan 11 buat kereta selepas sebuah lori merempuh mereka di persimpangan lampu isyarat di Shah Alam. Kejadian ini berlaku tengahari semalam di Persiaran Tengku Ampuan, berhadapan McDonald Seksyen 22.

Agak bernasib baik kerana tiada orang yang tercedera dan semua pemilik kenderaan terlibat telah membuat laporan polis. Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim berkata siasatan mendapati lori berkenaan tidak sempat berhenti selepas kenderaan di hadapannya membrek secara mengejut. Ujian urin pemandu lori juga mendapati dia negatif daripada penggunaan dadah dan tiada rekod jenayah lampau.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya. Saksi kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Muhammad Hasrul Suhiami di talian 011-31215697,” jelas beliau seperti dilaporkan oleh Sinar Harian dengan gambar di atas.

Kes lebih kurang sama masih kerap berlaku? Ya. Bulan lalu satu kes serupa juga berlaku di Tambak Johor, arah ke Singapura. Dua minggu lalu juga ada kejadian sebuah lori simen melanggar beberapa kenderaan dan tersasar ke laluan bertentangan. Pada April, di Torowong Menora, sebuah lori dengan masalah brek telah merempuh lima kenderaan lain. Tahun lalu pula, berdekatan Jalan Ipoh, sebuah lori melanggar sebuah Myvi.

Kejadian yang berulang ini membawa pertanyaan sejauh mana telah kita lakukan dari aspek peraturan dan keselamatan kenderaan komersial, untuk memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya. Apa penyelesaian untuk perkara ini?

The post Lori rempuh 11 kereta di lampu isyarat di Shah Alam appeared first on Paul Tan's Automotive News.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published.