Marshal ‘jadian’ tahan kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat untuk bagi laluan pada konvoi skuter

Berkali-kali Polis DiRaja Malaysia (PDRM) memberikan amaran bahawa semua pengiring atau marshal kumpulan konvoi sama ada kereta atau pun motosikal tidak dibenarkan sama sekali mengawal lalu lintas sesuka hati.

Walau bagaimana pun, amaran PDRM ini sering kali ‘dipandang sepi’ oleh segelintir individu yang ‘dilantik’ sebagai marshal untuk menghalang kenderaan lain semata-mata mahu memberikan laluan kepada kumpulan konvoi yang diiringinya.

Petang semalam, satu video telah dikongsikan oleh Mohd Akrie menerusi laman Facebook Dashcam Owners Malaysia yang memaparkan aksi seorang marshal menghalang laluan di persimpangan lampu isyarat bagi memberikan laluan kumpulan konvoi skuter.

Menurut Mohd Akrie, dia terpaksa memberhentikan kenderaannya walau pun ketika itu lampu isyarat sudah bertukar hijau memandangkan marshal terbabit meletakkan skuternya di tengah jalan dan bertindak mengawal trafik serta menghalang kenderaan di laluan bertentangan untuk bergerak.

Kejadian berkenaan dipercayai berlaku di persimpangan menuju ke Hosppital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), Serdang. Video yang dikongsikan ini mendapat perhatian para netizen yang rata-ratanya mengecam tindakan kumpulan konvoi terbabit. Malah ada yang menyarankan agar laporan polis dibuat agar tindakan undang-undang dapat diambil.

PDRM sebelum ini banyak kali berkata, orang awam atau pengguna jalan raya berhak untuk mengingkari perintah marshal ini sekiranya mereka melakukan tugas-tugas trafik seperti meminta anda memberikan laluan, memberhentikan kenderaan di persimpangan jalan, melencongkan kenderaan anda dan pelbagai lagi.

“Mana-mana individu atau kumpulan yang menjalankan tugas trafik tanpa anggota trafik boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 21 Akta Polis 1967 atau Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata PDRM menerusi kenyataan yang pernah dikeluarkan beberapa tahun yang lalu.

The post Marshal ‘jadian’ tahan kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat untuk bagi laluan pada konvoi skuter appeared first on Paul Tan's Automotive News.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *