MINI Electric Resolute Edition 2022 di M’sia – sentuhan penggayaan istimewa, jarak EV 232 km; dari RM198k

MINI Malaysia telah memperkenalkan varian baharu untuk Cooper SE (atau lebih dikenali sebagai MINI Electric) yang digelar Resolute Edition. Ditawarkan pada harga RM197,934 atas jalan tanpa insurans, Resolute Edition lebih mahal sebanyak RM12,000 berbanding model biasa Cooper SE yang dijual pada harga RM185,934 (naik berbanding RM178,241 yang dilaporkan pada Januari lalu).

Beza harga juga berlaku sekiranya anda memasukkan waranti lanjutan dan pakej servis untuk kedua-duanya (RM203,264 vs RM191,264). Secara standard, Resolute Edition turut didatangkan dengan waranti dua-tahun, perbatuan tanpa had.

Resolute Edition diperkenalkan di peringkat global pada Februari lalu dan menampilkan beberapa sentuhan penggayaan unik untuk membuatkan ia lebih menarik. Ia salah satu sebab mengapa harganya agak tinggi, bahkan pemilikannya juga boleh dianggap eksklusif, seperti mana yang MINI Malaysia katakan hanya unit terhad yang akan ditawarkan.

Untuk rekaannya, Resolute Edition menampilkan kemasan warna luaran Rebel Green bagi memberikan penghormatan kepada Connought Green yang digunakan pada Austin 1100, yang menerima rekaan dari Alec Issigonis, individu yang bertanggungjawab menghasilkan Mini original.

Warna terbabit, yang sebelum ini dikhaskan untuk model John Cooper Works, dipadankan dengan bumbung dan cermin sisi kontras Pepper White. Selain itu, kemasan Resolute Bronze juga kelihatan pada beberapa bahagian kenderana ini, termasuk pada keliling lampu utama, gril hadapan, lampu belakang, scuttles sisi serta pemegang pada pintu dan tailgate. Ia juga dipadankan dengan roda aloi dua-tona Power Spoke 17-inci.

Perincian lain termasuklah jaluran bonet yang menampilkan paten garisan selari dengan kecerunan warna yang bertukar dari bayangan keemasan terang ke gelap, degan skrip ‘Resolute’. Efek ini juga diaplikasikan pada kemasan ambang pintu. Selain itu, lencana model, logo jenama dan kemasan waistline diberikan dengan tona Piana Black

Di dalamnya, upholstery kulit Carbon Black yang diberikan secara standard buat Cooper SE telah digantikan dengan kombinasi kain/kulit dalam rona Black Pearl/Light Chequered. Ia juga diberikan roda stereng balutan kulit Nappa dengan logo Resolute pada bawah jejari. Permukaan dalaman juga menerima paten pinstripe tersendiri dengan garisan melengkung dalam tona keemasan terang.

Selain daripada perubahan estetika itu, ciri lain pada Resolute Edition masih sama seperti Cooper SE. Motor elektrik yang dipasang di hadapan dengan kuasa 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan tork 270 Nm dijanakan dari bateri lithium-ion 32.6 kWh (boleh guna 28.9 kWh), yang mampu memberikannya jarak sehingga 232 km mengikut standard WLTP. Larasan ini juga membolehkan jentera ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.3 saat dan kelajuan maksima mencapai 150 km/j.

Sama seperti Cooper SE, pengecasan bagi Resolute Edition mengambil masa lebih kurang dua jam 30 minit dengan pengecas AC 11 kW (sambungan Type 2). Secara alternatif, jentera ini juga boleh menggunakan pengecas pantas DC (sambungan CCS2) sehingga 50 kW, dengan status pengecasan dari 10-80% sekitar 36 minit.

Masih tiada lagi risalah spesifikasi rasmi dari laman web MINI Malaysia buat masa ini, tetapi senarai kit sepatutnya masih sama. Cooper SE menerima lampu utama LED adaptif, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, kawalan suhu dwi-zon, cermin auto-kelam, Bantuan Parkir, paparan utama, kluster instrumen digital lima-inci, skrin sesentuh MINI Navigation System 8.8-inci dengan Apple CarPlay, sistem bunyi Harman Kardon 12-pembesar suara, pengecas tanpa wayar Qi, kamera undur, enam beg udara dan pakej bantuan Pemanduan (AEB, LDW).

The post MINI Electric Resolute Edition 2022 di M’sia – sentuhan penggayaan istimewa, jarak EV 232 km; dari RM198k appeared first on Paul Tan's Automotive News.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published.