Modenas akan sertai pasaran elektrik menjelang 2025

Kebanyakan pengeluar motosikal sekarang sudah mula meneroka produk yang dipacu oleh elektrik, dan Modenas juga tidak mahu ketinggalan. Perkara ini dinyatakan sendiri oleh CEO Modenas, Roslan Roskan dalam satu sesi bersama media di Gurun, Kedah.

“Kerajaan Malaysia telah menetapkan sasaran menjelang tahun 2030, sekurang-kurangnya 15% kenderaan di atas jalan adalah yang menggunakan elektrik. Jika kami tidak menyertai pasaran EV ini sebelum itu, sekurang-kurangnya menjelang tahun 2025, kami akan ketinggalan. Walaubagaimanapun, kami akan berhati-berhati dan melihat kepada pelbagai perkara seperti infrastruktur dan pelbagai lagi,” kata Roslan.

Beliau turut menyatakan bahawa infrastruktur pengecas EV di Malaysia masih lagi lemah dan ketinggalan, selain pengguna Malaysia yang dikatakan masih kurang motivasi untuk beralih kepada kenderaan EV memandangkan kita mempunyai harga bahan api yang paling rendah di ASEAN.

Sebelum ini Modenas mempunyai motosikal berbentuk kapcai, tetapi dipacu oleh elektrik yang dipanggil sebagai CTric. Ia adalah yang pertama diluluskan oleh JPJ untuk kegunaan atas jalan biasa, namun penerimaannya kurang baik akibat daripada masa mengecas yang lama dan jarak gerak pendek.

Namun sekarang dengan adanya pelbagai teknologi yang telah terbukti, berserta Kawasaki yang juga sudah mula membangunkan jentera elektrik mereka sendiri, Modenas mungkin boleh menghasilkan suatu produk yang berjaya dalam pasaran.

The post Modenas akan sertai pasaran elektrik menjelang 2025 appeared first on Paul Tan's Automotive News.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published.