MSF Supermoto 2022 saksikan penyertaan berganda, pertarungan hebat dalam semua kategori perlumbaan

Selepas kejayaan musim pertama, MSF Supermoto kini diteruskan lagi untuk musim kedua, dengan pusingan pertama telah pun berlangsung di Litar Tangkak, Johor Bahru hujung Mei lalu. Menariknya untuk kali ini, jumlah penyertaan berganda hampir separuh dengan keseluruhannya melibatkan hampir 50 pelumba.

Saingan untuk MSF Supermoto 2022 dibahagikan kepada empat kategori iaitu Super Rookie, Advanced, All-Stars Pro, dan satu yang baru, SM Evo. Kategori baru ini diperkenalkan atas sebab penyertaan yang luar biasa, dan membahagikan peserta rookie yang lebih berpengalaman dengan yang betul-betul baru.

Dalam kategori Super Rookie, Hervin daripada pasukan KMTR Ravenol MY yang merupakan juara kategori sama musim lalu nampaknya berhadapan saingan yang sukar kerana cuma dapat menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, di belakang Marcus Lee dari Singapura, sementara juara keseluruhan dinobatkan kepada Muhamat Hairy daripada pasukan NK Racing yang memenangi perlumbaan pertama dan juga kedua.

Kategori SM Evo pula menyaksikan perlumbaan didominasi oleh Kieran Ng daripada pasukan Weebiker Tom’s Racing Team, yang memenangi kesemua perlumbaan Super Rocco sebanyak lima pusingan, Race 1 dan juga Race 2. Di belakang beliau, persaingan adalah lebih sengit, dengan keputusan yang bercampur antara Race 1 dan Race 2.

Akhirnya, apabila dikira secara keseluruhan, Steven Tang daripada WeeBiker Tom’s Racing berada di tempat kedua dan Muhd Ervin Ekhsan yang baru berumur 16 tahun, daripada TM Racing Singapore mendapat tempat ketiga.

Kategori Advanced pula melihatkan pertarungan sengit antara tiga pelumba teratas musim lepas. Walaubagaimanapun, kesemua perlumbaan yang dijalankan dibolot oleh Azizul Khairi daripada pasukan NK Racing sementara Afiff Izzudin dan Emy Nordin masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga.

Daniel Haiqal yang berlumba di bawah pasukan KMTR Ravenol MY dalam kategori All-Stars Pro nampaknya tidak akan berhadapan jalan mudah musim ini kerana terdapat saingan daripada Ian Dublin (WeeBiker Tom’s Racing) yang di dalam resume beliau juga tertulis pernah menjadi pelumba jemputan dalam British Superbike Championship. Banyak aksi hebat dapat dilihat dalam perlumbaan kategori paling tinggi ini, namun akhirnya secara keseluruhan ia masih dimenangi oleh Daniel.

Pusingan kedua bagi MSF Supermoto 2022 akan berlangsung 24 Julai ini di Litar UniMAP, Perlis, dan ini adalah kali pertama siri perlumbaan supermoto tersebut akan diadakan di sana. Jika tidak dapat hadir, anda juga masih boleh menyaksikan perlumbaan ini melalui siaran langsung di dalam Facebook.

The post MSF Supermoto 2022 saksikan penyertaan berganda, pertarungan hebat dalam semua kategori perlumbaan appeared first on Paul Tan's Automotive News.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published.