Pembinaan Lebuhraya SUKE beri manfaat kepada pengguna dan masyarakat di Jalan Ampang

Pihak pemaju Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) iaitu Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLintas) menyatakan pihaknya telah melakukan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang enam tahun pembinaan lebuhraya berkenaan yang memanfaatkan penduduk sekitar jajaran tersebut.

Dalam majlis taklimat kepada media sebelum pembukaan rasmi lebuhraya berkenaan yang berlangsung semalam, PROLintas menyatakan antara yang mendapat manfaat paling besar adalah pengguna dan penduduk di sekitar Jalan Ampang, di mana salah satu jajaran lebuhraya “terapung” SUKE ini berada betul-betul di atas antara jalan yang paling sibuk di Kuala Lumpur tersebut.

Menurut PROLintas, dengan adanya lebuhraya di atas Jalan Ampang berkenaan, ia seolah-olah bertindak sebagai kanopi, membolehkan penunggang motosikal melalui jalan berkenaan walaupun ketika hujan. Malah Jalan Ampang yang sebelum ini hanya mempunyai dua lorong untuk satu hala kini telah dipertingkat menjadi tiga lorong.

Bagi bangunan-bangunan kerajaan yang terjejas kerana jajaran Lebuhraya ini termasuk Ibu Pejabat Polis IPD Ampang Jaya, pejabat dan kuaters Pejabat Hutan Daerah Selangor Tengah serta Rumah Penghulu Ampang telah pun dipindahkan ke kawasan lain dengan bangunan baharu yang jauh lebih baik dari sebelum ini. Manakala Surau An-Najah yang terletak di Taman Dato Razali telah diubahsuai semula sepenuhnya.

Jajaran Lebuhraya SUKE ini juga turut melalui bahagian atas Sungai Ampang. Jadi bagi memastikan ekosistemnya tersebut tidak terganggu, sungai tersebut kini telah ditegakkan, manakala laluan lebuhraya di atasnya dipisahkan antara kiri dan kanan. Ini untuk memastikan sungai berkenaan terus menerima cahaya matahari bagi membolehkan hidupan di dalamnya hidup seperti biasa. Malah di kiri dan kanan sungai terbabit kini telah dibina dengan taman linear menampilkan laluan untuk berlari dalam jarak 1.6 km.

Selain dari menaik taraf fasiliti di sekitar Jalan Ampang, PROLintas turut menaik taraf jalan raya di kawasan Hulu Langat yang dilalui jajaran Lebuhraya SUKE ini. Kawasan tersebut sebelum ini telah menyebabkan banyak kemalangan terutamanya melibatkan kenderaan berat kerana terlalu curam, kini telah diubah lebih selamat dengan menampilkan gradien yang lebih landai.

Syarikat tersebut turut menyatakan bahawa kesemua penduduk di kawasan jajaran Lebuhraya SUKE ini menerima faedah seperti pemeriksaan kesihatan dan juga cuci kereta secara percuma sepanjang pembinaan projek tersebut. Pihak PROLintas turut menaja pelbagai program membabitkan pendidikan dan kesihatan bagi komuniti B40 di kawasan berkenaan, serta menyertai acara-acara amal termasuk sambutan hari-hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Korban, Tahun Baru Cina, Deepavali dan sebagainya.

PROLintas turut mengambil langkah proaktif bagi menghulurkan bantuan kepada masyaratkat setempat ketika berlakunya pandemik dan juga banjir kilat baru-baru ini. Kesemua kos untuk setiap tingkat taraf fasiliti, sumbangan dan sebagainya yang disebutkan di atas adalah dikeluarkan oleh pihak PROLintas sendiri.

Secara keseluruhan, Lebuhraya SUKE ini menampilkan laluan utama sepanjang 24.4 km. Tetapi jika dikira sekali dengan laluan susur keluar, panjang sebenarnya adalah berjumlah 57.7 km. Lebuhraya ini akan menghubungkan Sri Petaling hingga ke Bukit Antarabangsa, Hulu Klang, bertindak sebagai alternatif kepada Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR), dengan 14 persimpangan.

Lebuhraya berkenaan bakal dirasmikan oleh Menteri Kanan Kerja Raya Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof malam ini, serentak dengan pengumuman bila ianya akan dibuka kepada umum dan jumlah bayaran tol yang akan dikenakan. Walau bagaimanapun, pembukaan awal lebuhraya ini hanya membabitkan laluan Fasa 1 terlebih dahulu.

Pembinaannya disasarkan untuk menyuraikan aliran trafik berkapasiti tinggi di kawasan berkenaan iaitu Cheras, Pandan Indah dan Ampang. Bagi Fasa 1 ini ia hanya melibatkan laluan bermula di persimpangan Cheras-Kajang sehingga ke Hulu Klang, manakala pembukaan fasa seterusnya iaitu melibatkan laluan dari Sri Petaling (di mana berakhirnya Lebuhraya Kesas, berdekatan Endah Parade) hanya akan dibuka kemudian.

Lebuhraya SUKE menampilkan pelbagai ciri unik yang tidak pernah ada pada mana-mana lebuhraya dalam negara sebelum ini, dan ia dibina 90% “terapung” manakala hanya 10% laluan berada di atas permukaan tanah.

Menurut CEO kumpulan PROLintas Datuk Mohammad Azlan Abdullah, SUKE mampu untuk menyuraikan 30% trafik di MRR2, 36% di Jalan Ampang dan juga 12% di Jalan Loke Yew ketika waktu puncak. Bagi yang tinggal atau bekerja di kawasan berkenaan pasti tahu betapa sesaknya ketiga-tiga jalan tersebut buat masa sekarang.

SUKE juga akan menghubungkan lebuhraya-lebuhraya lain seperti Kesas (Sri Petaling), Lebuhraya KL-Seremban, Sungai Besi Expressway (Besraya), Grand Saga, Ampang-Kuala Lumpur Elevated Highway (AKLEH) dan Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE), yang buat masa sekarang kesemuanya bersambung dengan MRR2.

Dua plaza tol akan beroperasi pada pembukaan Fasa 1 Lebuhraya SUKE ini iaitu Bukit Teratai dan Ampang, manakala Fasa 2 nanti akan ditambah satu lagi plaza tol akan beroperasi ketika Fasa 2 dibuka kelak. Dalam majlis taklimat semalam, kami turut di bawa untuk melawat jajaran Fasa 1 Lebuhraya SUKE tersebut. Laporan pengalaman meninjau sendiri pelbagai ciri unik bagi Lebuhraya ini sudah kami sediakan untuk anda baca pada PAUTAN INI.

The post Pembinaan Lebuhraya SUKE beri manfaat kepada pengguna dan masyarakat di Jalan Ampang appeared first on Paul Tan's Automotive News.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published.