Perodua Alza 2022 – aksesori GearUp luar dan dalam

Bersama dengan pelancaran Alza generasi kedua hari ini, Perodua turut memperkenalkan barisan aksesori GearUp untuk MPV tujuh tempat duduk tersebut. Ia melibatkan barangan untuk penampilan, kemasan dalam serta kemudahan dan aksesori lain.

Bermula dengan kit badan, yang dipanggil sebagai Prime Bodykit, ia melibatkan tambahan kemasan pada bampar hadapan dan belakang, serta spoiler di atas penutup but belakang. Pakej ini ditawarkan pada harga RM2,500, sekali dengan pemasangan dan boleh dicat dalam semua warna yang disediakan untuk Alza baru ini.

Untuk bahagian dalam, aksesori pertama yang disediakan adalah pembalut tempat duduk dua tona warna (merah dan hitam, dengan jahitan merah), yang dibuat daripada PVC dan mempunyai poket tempat simpanan barang di bahagian belakang tempat duduk hadapan. Harganya adalah RM1,000 dan disediakan untuk semua varian.

Pakej seterusnya yang disediakan adalah Utility Package, berharga RM390 dan pembeli akan mendapat pelapik ruang barangan belakang, visor cermin serta pelapik kaki. Barangan ini juga boleh dibeli secara berasingan dengan harga masing-masing RM80, RM160 dan RM200.

Bagi menaikkan seri Alza baru ini, pemilik juga boleh mendapatkan pelapik tepi pintu berlampu serta lampu di bahagian lantai pada harga masing-masing RM300 dan RM250. Bagaimanapun, untuk memasang aksesori ini, pemilik juga perlu mendapatkan penyambung sistem pendawaian khas yang dijual berasingan pada harga RM75.

Pada bahagian keselamatan, antara aksesori yang disediakan adalah tempat duduk kanak-kanak, pada harga RM680, perakam video pada harga RM500, pengunci nat tayar (RM200) serta pemerhati tekanan angin tayar (TPMS) bluetooth (RM430).

Ada juga pelbagai lagi aksesori tambahan dalam katalog GearUp ini, antaranya seperti kain pelindung bahagian kabin, pemegang telefon, pelindung tepi pintu, kotak tisu, pemadam api, kotak barangan dan pelbagai lagi.


The post Perodua Alza 2022 – aksesori GearUp luar dan dalam appeared first on Paul Tan's Automotive News.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published.