Perodua Alza 2022 — pecahan spesifikasi X, H dan AV

Perodua secara rasminya telah mengumumkan pengambilan tempahan bagi Alza 2022 pagi ini. Setelah spekulasinya bertiup sejak berbulan yang lalu, kita kini ada perincian rasmi untuk MPV serba baru berkenaan, “adik” dengan tujuh-tempat duduk kepada Toyota Avanza/Veloz dan Daihatsu Xenia.

Syarikat itu menyifatkan yang Alza baru ini nanti akan “menampilkan pembaharuan yang penting bagi aspek keselesaan pemanduan dan kepelbagaian penggunaan” berbanding versinya dengan jenama yang lain tersebut. Ia juga lebih besar saiznya.

Alza D27A menggunakan enjin 1.5 liter Dual VVT-i NA empat-silinder yang digandingkan bersama kotak gear D-CVT automatik. Kombinasi ini dijangka sama seperti apa yang digunakan untuk Myvi ketika ini.

Alza diklasifikasikan sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV) dan didakwa mencapai bacaan penggunaan minyak 22.0 km/l dalam MDC. Ini mungkin bermaksud Malaysia Driving Cycle, sebuah protokol tempatan yang baru berdasarkan keadaan setempat di sini. Eco Idle pula adalah ciri standard.

Tiga varian akan ditawarkan untuk Alza terbaru ini — X, H dan AV. Harga jualannya setakat ini ialah RM62,000 bagi X, RM68,000 bagi H dan RM75,000 bagi AV, atas jalan dengan insuran. Harga sebenar akan diumumkan nanti ketika pelancaran rasminya, yang dijangka akan dilakukan bulan depan. Seperti dijangka, harganya lebih tinggi daripada Alza yang lama, yang dijual pada harga antara RM52,661 hingga RM60,525; jika tidak mengambil kira versi manual yang dijual di bawah RM50k.

Antara kelengkapan yang ada adalah brek parkir elektronik (EPB) dengan Auto Brake Hold, penggunaan minyak 22 km/l, gril depan krom/hitam berkilat, kabin tujuh-tempat duduk luas dan tinjauan pandangan panoramik 360-darjah. Yang terakhir ini dan juga EPB adalah yang pertama ditawarkan oleh Perodua. Tidak semua varian akan datang dengan kelengkapan tersebut; sila rujuk pecahan spesifikasi yang kami sediakan ini berdasarkan maklumat rasmi yang ada setakat ini.

Perodua Alza 1.5X 2022 – anggaran RM62,000
Ciri standard:

Mekanikal

  • Enjin 1.5 litre Dual VVT-i dengan Eco Idle
  • Transmisi automatik D-CVT

Luaran

  • Lampu utama LED dengan fungsi “follow-me home”, “leaving home”
  • Cermin sisi larasan kuasa dengan lipatan manual
  • Lampu isyarat cermin sisi LED

Dalaman

  • Kerusi fabrik
  • Nisbah lipatan kerusi baris tengah 60:40, mekanisme sekali sentuh
  • Nisbah lipatan kerusi baris belakang 50:50
  • Kawalan pendingin digital di depan
  • Kawalan pendingin manual di belakang, dengan corong
  • Paparan multi-info LCD
  • Head unit standard tanpa skrin sentuh

Keselamatan

  • Enam beg udara
  • ABS, EBD, Brake Assist, Hill-start Assist, VSC
  • Sensor parkir belakang
  • Advanced Safety Assist (ASA)
  • Amaran Pra-Perlanggaran
  • Brek Pra-Perlanggaran (AEB, untuk kenderaan dan pejalan kaki)
  • Kawalan Salah Operasi Pedal
  • Amaran Pergerakan Depan
  • Amaran Penukaran Lorong
  • Penghindaran Penukaran Lorong
  • Lampu Tinggi Automatik

Perodua Alza 1.5H 2022 — anggaran RM68,000
Tambahan:

Mekanikal

  • Mod pemanduan (Eco, Normal, Sport)

Luaran

  • Cermin sisi lipatan automatik
  • Lampu depan automatik

Dalaman

  • Perehat lengan
  • Paparan multi-info 7.0-inci TFT
  • Head unit dengan skrin sentuh 9.0-inci

Keselamatan

  • Kamera undur
  • Sensor parkir depan
  • Lampu depan Adaptive Driving Beam dengan lampu isyarat sequential

Perodua Alza 1.5AV 2022 — anggaran RM75,000
Tambahan:

Mekanikal

  • Brek parkir elektronik (EPB) dengan Auto Brake Hold

Keselamatan

  • Kawalan Melayar Adaptif
  • Kawalan Mengekalkan Lorong
  • Peninjau Titik Buta
  • Penggera Lintasan Trafik Belakang
  • Peninjau pandangan panoramik 360-darjah

Pembeli boleh memilih daripada lima warna, tiga daripadanya warna baru untuk Alza. Ini melibatkan Vintage Brown, Garnet Red dan Elegant Black; sebagai tambahan Glittering Silver dan Ivory White. Warna coklat dan merah hanya eksklusif untuk varian H dan AV. Jaminan lima-tahun adalah standard.

Juga, tempahan yang dibuat sebelum 1 Julai akan layak untuk menikmati pengecualian SST, asalkan kenderaan terbabit didaftarkan sebelum 31 Mac 2023 seperti yang diumumkan baru-baru ini. Jika anda berminat dengan Alza baru ini, anda mempunyai satu minggu untuk membuat tempahan.

The post Perodua Alza 2022 — pecahan spesifikasi X, H dan AV appeared first on Paul Tan's Automotive News.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published.