Perodua Alza – 70% tempahan pilih kit badan GearUp

Ramai yang cakap, rekaan Perodua Alza 2022 kali ini jauh lebih cantik dari kembar-kembarnya iaitu Daihatsu Xenia, Toyota Avanza dan juga Toyota Veloz. Malah kali ini, jenama aksesori rasmi Perodua iaitu GearUp turut tampil dengan kit badan yang paling cantik pernah mereka hasilkan berbanding rekaan untuk model-model lain sebelum ini.

Jadi tidak hairanlah Perodua mengumumkan bahawa 70% dari jumlah keseluruhan pelanggan yang menempah Alza 2022 ini mahukan MPV mereka terus dipadankan dengan kit badan GearUp! Perkara ini diumumkan sendiri oleh Presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad pagi tadi ketika sidang media di Kota Bahru, Kelantan sempena sesi pandu uji media untuk Alza 2022.

Menurutnya lagi, sehingga kini sejumlah 39,000 unit Alza telah ditempah oleh pelanggan, atau lebih 9,000 unit tempahan tambahan diterima selepas pelancarannya dua minggu lalu. Ini menunjukkan bahawa permintaan terhadap Alza masih tinggi walaupun tidak lagi menerima insentif pengecualian cukai jualan.

Kit badan GearUp ini dijual pad harga RM2,500 yang merangkumi lips bawah bampar hadapan dengan lampu nyalaan siang LED bina dalam, lips bawah bampar belakang dan juga spoiler belakang yang lebih menonjol. Aksesori GearUp lain seperti visor tingkap (RM160) dan scuff plate bernyala (RM300) juga agak popular dikalangan pembeli Alza.

Bagi yang memilih varian asas Alza X dan varian pertengahan Alza H yang hanya diberikan balutan fabrik pada tempat duduk (varian AV menerima balutan gabungan kulit dan fabrik) turut ditawarkan dengan upholsteri PVC dua tona yang memberikan rasa seakan kulit dari GearUp, yang direka bersama tambahan poket pada bahagian belakang perehat tempat duduk hadapan. Balutan tempat duduk ini boleh dipilih dengan tambahan RM1,000.

Pelbagai lagi aksesori GearUp disediakan untuk Alza 2022 yang diperkenalkan serentak ketika ia dilancarkan. Antaranya lampu untuk bahagian ruang kaki baris pertama dan kedua, karpet kaki jenis gegelung, penebat bunyi bawah bonet, pelapik dan pengatur bahagian kargo belakang, nat pengunci rim, dashcam, pemantau tekanan tayar, tempat duduk keselamatan kanak-kanak dan pelbagai lagi.

Aksesori-aksesori ini boleh dibeli menerusi pakej yang disediakan mahupun secara berasingan. Untuk maklumat lebih terperinci termasuk harga aksesori-aksesori berkenaan, anda boleh rujuk artikel pada PAUTAN INI. Perodua turut menyatakan bahawa pecahan varian dalam tempahan Alza masih lagi tidak berubah di mana 65% pembeli memilih untuk menempah Alza dalam varian tertinggi AV yang berharga RM75,500.

GALERI: Perodua Alza AV 2022 dengan kit GearUp

GALERI: Brosur Perodua Alza 2022 dengan kit GearUp

The post Perodua Alza – 70% tempahan pilih kit badan GearUp appeared first on Paul Tan's Automotive News.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published.