Perodua Alza D27A akan dapat nama baru, harga akan diumum 23 Jun, tempahan turut dibuka selepas itu

Bagi mereka yang berminat dengan MPV baharu keluaran Perodua bagi menggantikan Alza yang sudahpun dihentikan pengeluarannya akhir April lalu, ini ada maklumat baharu yang kami terima – Perodua bakal mengumumkan harga jualan untuk model tersebut pada 23 Jun ini, dan tempahannya akan dibuka selepas itu.

Maklumat ini terkandung dalam pekeliling dalaman yang dihantar kepada jaringan pengedarnya semalam, dan telah dilihat serta dibaca oleh paultan.org. Pekeliling tersebut turut menyebut bahawa Perodua turut akan “mendedahkan nama model” pada tarikh yang sama, menandakan bahawa MPV baharu yang kini hanya dikenali dengan kod projek D27A berkenaan tidak akan menggunakan lagi nama Alza untuk model generasi baharu ini.

Masih belum ada petunjuk rasmi dari Perodua berkenaan nama baharu tersebut, namun pada April lalu syarikat berkenaan telah dilihat mendaftarkan tanda dagang untuk nama ‘Traz’ dan ‘Nexis’ di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bulan lalu. Kedua-dua nama berkenaan difailkan di bawah kelas 12 dan kelas 37, menandakan ianya diletakkan pada kategori yang berkaitan dengan kereta.

Walau bagaimanapun, bukan semua nama yang didaftarkan di MyIPO tersebut sah akan digunakan untuk model-model akan datang kerana ia mungkin hanya sebagai antara pilihan yang mungkin akan diambil. Contohnya ketika Perodua mendaftarkan nama Axia pada 2014, mereka turut mendaftarkan dua lagi nama iaitu Eliana dan Atrivia yang masih belum digunakan sehingga kini.

Dalam laporan sebelum ini, Perodua D27A berkenaan dikhabarkan akan dijual pada harga bermula RM69k – jauh lebih mahal dari Alza sebelum ini dan ini mungkin sebabnya ia tidak lagi akan menggunakan nama Alza. Model penganti ini dihasilkan dari platform Daihatsu New Global Achitecture (DNGA) yang jauh lebih canggih serta merupakan kembar kepada Toyota Avanza/Daihatsu Xenia yang telah pun dilancarkan di Indonesia pada November tahun lalu.

Perodua telahpun menyiarkan teaser rasmi untuk MPV ini semalam, sedikit sebanyak mendedahkan rupa sebenarnya. Ia masih mengekalkan rupa asas yang hampir sama dengan Avanza/Xenia, tetapi nampaknya menerima muka dengan pengaruh dari Ativa dengan menampilkan elemen berbentuk-X, seperti yang dilakar oleh Theophilus Chin sebelum ini.

Lampu hadapan juga dilihat lebih bersegi berbanding Avanza dan Xenia, bersama gril yang direka juga seiras seperti Ativa. Manakala di belakang, lampu utamanya dilihat mirip lampu pada Avanza, dengan grafik berbentuk-L serta klusternya dihubung oleh perincian kemasan dengan logo Perodua di tengah.

Laporan sebelum ini juga mengesahkan bahawa MPV baharu tersebut akan ditawarkan dalam tiga varian, bermula dengan model asas 1.5L X CVT (kod varian BP5XZ), diikuti varian pertengahan 1.5L H CVT (BP5HZ) dan varian tertinggi 1.5L AV CVT (BP5VZ).

Nama pada varian ini sekaligus mengesahkan bahawa MPV generasi baharu tersebut tidak akan menerima enjin 1.0 liter tiga-silinder turbo seperti Ativa, sebaliknya menggunakan enjin 1.5 liter NA dan dipadankan dengan kotak gear CVT automatik, tanpa pilihan varian kotak gear manual.

Di Indonesia, Avanza dan Xenia menerima enjin 2NR-VE 1.5 liter empat-silinder NA Dual VVT-i bersama kotak gear gear D-CVT, yang dilihat sama seperti Perodua Myvi facelift 2022. Namun berbeza dengan Myvi yang menghasilkan 102 PS/138 Nm, enjin sama untuk versi MPV ini menerima talaan yang membolehkan ia menjana 106 PS ada takat 6,000 rpm dan tork maksima 138 Nm pada takat 4,200 rpm.

MPV baharu ini juga dilihat akan ditawarkan dalam lima warna badan berbeza, terdiri dari satu warna solid dan empat warna metalik. Satu-satunya warna solid iaitu Ivory White, bersama Glittering Silver dan warna baru Elegant Black ditawarkan untuk ketiga-tiga varian, manakala warna Garnet Red dan Vintage Brown hanya untuk varian H dan AV.

The post Perodua Alza D27A akan dapat nama baru, harga akan diumum 23 Jun, tempahan turut dibuka selepas itu appeared first on Paul Tan's Automotive News.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published.