Perodua Myvi salah masuk di bulatan Batu Caves, lawan arus trafik di Jalan Kuching pagi tadi

Satu lagi kejadian melawan arus, dan sekali lagi melibatkan Perodua Myvi – kali ini berlaku pagi tadi di Jalan Kuching, Kuala Lumpur, dan ia dilaporkan oleh Pusat Arahan dan Kawalan Kuala Lumpur (KLCCC) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menerusi akaun Twitter mereka.

Ciapan yang dibuat turut menyertakan gambar Perodua Myvi berwarna biru tersebut masuk ke bulatan Batu Caves tetapi melalui arah berlawanan dengan arus trafik, kemudian terperangkap di tengah-tengah trafik berkenaan. Menurut KLCCC, polis trafik terus berkejar ke tempat kejadian bagi memastikan keselamatan di kawasan insiden tersebut.

Dalam ciapan susulan sekitar 15 selepas itu, KLCCC menyatakan skuad bergerak DBKL Renjer turut telah datang ke tempat kejadian untuk mengalihkan halangan serta menunda Myvi berkenaan ke tepi jalan. Mujur tiada sebarang kemalangan mahupun kecederaan dilaporkan dari insiden tersebut.

Perkara-perkara seperti ini sudah kerap kali terjadi, tetapi masih ada yang mengambil ringan dan tidak mengambil sebarang pengajaran walaupun ada insiden yang sudahpun mencatatkan kematian. Jadi, sama-samalah kita terus memandu dengan lebih berhemah selepas ini ya.

The post Perodua Myvi salah masuk di bulatan Batu Caves, lawan arus trafik di Jalan Kuching pagi tadi appeared first on Paul Tan's Automotive News.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published.