PLUS bakal pasang 100 pengecas untuk EV di sepanjang lebuhrayanya menjelang 2024

PLUS Malaysia (PLUS) menyasarkan untuk memasang sejumlah 100 pengecas bagi kenderaan elektrik (EV) di lokasi strategik di sepanjang lebuhraya kendaliannya menjelang tahun 2024. Perkara ini didedahkan oleh pengarah urusan syarikat konsesi terbabit, Datuk Azman Ismail, seperti mana yang dilaporkan oleh The Edge baru-baru ini.

“Kami akan bekerjasama dengan rakan strategik termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan objektif untuk menyediakan fasiliti yang diperlukan khususnya untuk pengguna EV di lebuhraya kami. Di bawah pelan hala tuju PLUS EV Charging Station, kami akan bekerjasama dengan beberapa pemain industri untuk memasang 100 pengecas ini secara kumulatif menjelang 2024,” kata Azman.

Menurut Azman lagi, sebanyak 29 pengecas telah diletakkan di kawasan rehat & rawat (R&R) dan juga stesen minyak seperti Caltex dan Shell di sepanjang lebuhraya PLUS. Sementara itu, Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) berkata buat masa ini, terdapat sejumlah 600 stesen pengecas EV awam di seluruh negara.

Pada Mac lalu, TNB telah mengumumkan pihaknya akan bekerjasama dengan PLUS untuk beberapa inisiatif mampan. Antaranya termasuklah memasang pengecas pantas untuk EV di beberapa lokasi berpotensi tinggi di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan serta Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Walau bagaimana pun, rangkaian pengecas pantas DS tersebut masih belum didedahkan buat masa ini, tetapi menerusi dokumen yang ditandatangani telah mendedahkan terdapat sejumlah lapan stesen pengecasan pantas akan dipasang di kedua-dua lebuhraya terbabit (enam di Lebuhraya Utara-Selatan, dua lagi di LPT2) yang merentasi enam buah negeri.

Selain itu, kedua-dua pihak berkenaan juga bersetuju untuk bekerjasama memasang sistem solar photovtaic di atas bumbung bangunan R&R Ayer Keroh (Arah Utara) dan R&R Tapah (Arah Utara), dengan keseluruhan jumlah bagi kapasitinya adalah melebihi 360 kWp (kilowatt peak).

The post PLUS bakal pasang 100 pengecas untuk EV di sepanjang lebuhrayanya menjelang 2024 appeared first on Paul Tan's Automotive News.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published.