Proton tubuh anak syarikat untuk kereta tenaga baru dan smart – dipanggil Proton New Energy Technology

Dari kiri: Sua Chek Hoong, Zhang Qiang dan Salawati Mohd Yusoff

Proton telah menubuhkan sebuah anak syarikat baru untuk mengendalikan jualan dan pengedaran kenderaan smart serta kenderaan tenaga baru (NEV) jenama sendiri, dipanggil sebagai Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (PRO-NET). Dimiliki sepenuhnya oleh Proton, syarikat ini akan dikendalikan oleh pasukan pengurusan yang berasingan manakala kakitangan operasi terdiri daripada pekerja luar daripada pelbagai industri.

Mengetuai syarikat itu sebagai CEO adalah Zhang Qiang. Beliau telah lama berkecimpung dalam industri automotif di China dan sebelum ini bekerja di Proton selama lima tahun di bahagian jualan dan pembangunan rangkaian. Ahli pasukan pengurusan yang lain termasuk Salawati binti Mohd Yusoff, seorang veteran industri automotif yang berpengalaman selama 25 tahun, sebagai ketua pegawai jenama, dan Sua Chek Hoong, tambahan baru ke Proton dengan pengalaman selama 20 tahun dalam industri komunikasi dan IT, sebagai ketua pegawai informasi.

Pasukan pengurusan Pro-Net mempunyai tanggung jawab untuk memberi laporan kepada lembaga pengarah yang diketuai oleh ketua pegawai eksekutif Proton, Dr Li Chunrong, sambil disokong oleh timbalannya, Roslan Abdullah, ketua pegawai kewangan, Wang Huaibing serta naib presiden modal insan & pentadbiran, Amran Mohd Tomin.

Jualan kenderaan elektrik smart dijadualkan bermula pada awal suku ke-4 2023 dan model pertama yang akan ditawarkan kepada rakyat Malaysia ialah smart #1. PRO-NET kini sedang membuat persediaan untuk pemasarannya dan keutamaan syarikat sekarang adalah berkenaan penyelesaian isu pengecasan untuk pelanggan, termasuk di rumah dan juga awam.

“Kajian kami menunjukkan penghalang kepada pengguna untuk membeli kenderaan tenaga baru terikat dengan kebimbangan mereka tentang ketersediaan rangkaian pengecasan. PRO-NET berhasrat untuk menangani isu ini dengan gabungan pemasangan dan penyelenggaraan pengecas di rumah dengan rangkaian awam komprehensif yang dibina bersama rakan kongsi yang pakar dalam pembangunan dan pengendalian stesen pengecasan,” kata Li.

“Sebagai anak syarikat PROTON, PRO-NET bertanggungjawab memastikan produk dan perkhidmatan kami boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia tidak kira di mana mereka berada. Jadi, selain daripada pengecas tetap, kami juga sedang mempertimbangkan penyelesaian mudah alih untuk meluaskan liputan kami,” tambah beliau.

“Industri kenderaan tenaga baharu sedang berkembang pesat, dan PRO-NET ingin memainkan peranan besar di Malaysia dan di luar negara. Memandangkan produk baharu ini tidak akan dibebani oleh barisan model terdahulu atau operasi perkhidmatan tradisional, ini adalah peluang untuk PROTON merangka semula pengalaman pelanggannya dan menempatkan dirinya sebagai penyedia mobiliti yang mampu menarik perhatian pembeli baharu dan tradisional,” kata Li.

“Kami masih berada di titik permulaan perjalanan tenaga baharu tetapi dengan pengumuman rasmi hari ini mengenai PRO-NET, rancangan ini akan mendapat momentum yang membawa kepada lebih banyak perkembangan pada bulan dan tahun akan datang,” tambah Li.

Bulan lepas Proton dan smart telah mengumumkan secara rasmi kerjasama antara dua syarikat dengan melakukan majlis tanda tangan perjanjian pengedaran, yang akan menyaksikan Proton menjual dan menyediakan servis untuk kenderaan smart di Malaysia dan juga Thailand. Proton mensasarkan penjualan antara 800 hingga 1,000 unit kenderaan smart setahun di Malaysia dan meletakkan sasaran 10,000 unit menjelang 2027.

The post Proton tubuh anak syarikat untuk kereta tenaga baru dan smart – dipanggil Proton New Energy Technology appeared first on Paul Tan's Automotive News.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published.