Proton X50 khas diserahkan kepada Tengku Sulaiman

Dalam satu muatan di Facebook, Proton telah mengumumkan bahawa sebuah X50 ubah suai khas diserahkan kepada seorang pelanggan istimewa mereka, iaitu Y.A.M. Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Kereta ini diubah suai oleh Automotive Conversion Engineering (ACE), iaitu satu cabang khas pengubahsuaian kenderaan di dalam Proton, yang juga sebelum ini telah melakukan kerja-kerja ubah suai untuk kereta Proton lain dalam koleksi Tengku Sulaiman termasuk X70 dan Perdana.

Kali ini, X50 Tengku Sulaiman dicat warna kuning seakan emas, dan ia merupakan satu warna khas yang tiada dalam pilihan untuk X50 jualan awam. SUV ini juga datang dengan jalur hitam di atas bonet, penutup but dan bahagian tepi pintu, sementara rim mendapat warna krom.

Kemasan istimewa lain yang dapat dilihat pada bahagian luar X50 Tengku Sulaiman ini adalah termasuk jalur warna kuning sama seperti badan di bahagian gril, lampu LED tambahan pada gril bawah, kemasan berbentuk helang pada bingkai nombor plet serta hiasan berbentuk harimau di atas bonet.

Pada penutup but belakang, anda akan dapat melihat tambahan kemasan krom yang tebal berserta logo Proton berwarna emas (di bawah pengelap cermin), manakala di kedua-dua belah tepi nombor plet terdapat lencana logo serta bendera Selangor. Sama seperti hadapan, bampar belakang juga mendapat tambahan dua jalur lampu LED.

Hanya satu gambar bahagian dalam yang dimuat naik oleh Proton, dan melaluinya kita boleh melihat kemasan kayu pada beberapa bahagian seperti stereng, papan pemuka dan konsol tengah, sementara tempat duduk menggunakan balutan kulit bersama jahitan warna kuning.

The post Proton X50 khas diserahkan kepada Tengku Sulaiman appeared first on Paul Tan's Automotive News.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published.