Rapid Penang sediakan transaksi pembayaran justPay

Bagi menyokong hala tuju aspirasi pendigitalan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) akan melaksanakan projek perintis bagi sistem percubaan pembayaran terbuka bagi perkhidmatan bas Rapid Penang.

Dengan memilih sistem pembayaran terbuka justPay, ia bakal menyediakan satu alternatif mod pembayaran tambang dengan menyediakan kaedah pembayaran melalui teknologi kod QR (Quick Response) dan aplikasi e-Wallet.

Proses ujian terhad ini hanya dilakukan di dua laluan iaitu laluan 101 (Weld Quay–Teluk Bahang) dan laluan 613 (Penang Sentral-Padang Serai) bermula 18 Jun dan dijangka selesai pada 17 Ogos 2022.

Menurut Muhammad Yazurin Sallij, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, “Ujikaji prototaip aplikasi justPay ini telah pun dijalankan beberapa bulan yang lepas. Oleh yang demikian, fasa seterusnya merupakan Proof of Concept yang akan melibatkan sampel yang lebih ramai iaitu para pelanggan Rapid Penang digalakkan untuk mencuba dan menguji keupayaan serta fungsi aplikasi ini. Segala komen dan peluang penambahbaikan akan diambil kira sebelum sistem ini digunapakai sepenuhnya.”

Bagi menggunakan sistem pembayaran justPay, pengguna perlu memuat turun aplikasi berkenaan menerusi Google Play Store atau Apple App Store. Kemudian pengguna perlu mendaftarkan nombor talian telefon yang sah dan memasukkan nombor OTP (One Time Password) yang dihantar melalui khidmat pesanan ringkas sebagai pengesahan serta menetapkan kata laluan.

Menerusi aplikasi ini, pengguna boleh menambah nilai melalui fungsi tambah nilai melalui perbankan internet. Kemudian, pengguna perlu memilih ikon TransitPay, dan seterusnya kod QR akan dipaparkan.

Seterusnya, pengguna perlu mengimbas kod QR ke peranti yang disediakan semasa menaiki dan menurun dari bas bagi merekod lokasi hentian bas yang dinaiki. Di mana pembayaran tambang akan dilakukan melalui imbasan kod QR ke peranti semasa turun dari bas dan bayaran tambang bas akan ditolak terus daripada dompet digital justPay.

Aplikasi justPay dibangunkan melalui kolaborasi antara Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (PRIDE – anak syarikat Prasarana) dan Community Marketplace Technology Sdn Bhd. Para penumpang boleh melayari laman media sosial Rapid Penang untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai projek perintis ini.

The post Rapid Penang sediakan transaksi pembayaran justPay appeared first on Paul Tan's Automotive News.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published.