Sony Honda Mobility ditubuhkan – syarikat usahasama baru bakal hasilkan kereta elektrik Sony pada 2025

Selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada Mac lalu, Honda dan Sony kini membawa kerjasama mereka ke tahap lebih tinggi dengan bersetuju untuk menubuhkan syarikat kerjasama yang digelar sebagai Sony Honda Mobility. Syarikat tersebut diwujudkan untuk mula membangunkan kenderaan-kenderaan elektrik (EV) dengan “nilai tambah yang sangat tinggi”, mungkin akan menggunakan jenama Sony, muncul pada 2025.

Syarikat baharu itu akan diperbadankan secara rasmi tahun ini dan disasarkan untuk menggabungkan kekuatan setiap entiti. Honda akan menawarkan teknologi mesra alam, keselamatan dan pembuatan badan kenderaan, keupayaan pembangunan mobiliti dan pengalaman dalam menguruskan perkhidmatan selepas jualan.

Manakala Sony pula akan menawarkan kepakarannya dalam pembangunan dan aplikasi pengimejan, penderiaan, telekomunikasi, rangkaian dan teknologi hiburan.

Matlamatnya adalah untuk mewujudkan mobiliti generasi baharu dan perkhidmatan berkaitan yang “diselaraskan untuk hampir dengan pengguna dan persekitaran.” Kedua-dua syarikat juga merancang untuk mengembangkan penawaran berkenaan pada masa hadapan, membayangkan perkongsian dalam jangka masa panjang.

Walaupun masih tertakluk kepada kelulusan kawal selia, Sony Honda Mobility dirancang untuk beribu pejabat di Tokyo dan melibatkan pelaburan awal sebanyak 10 bilion yen (RM329.3 juta). Pegawai urusan senior Honda, Yasuhide Mizuno bakal dilantik menjadi pengerusi dan ketua pegawai eksekutif syarikat itu, manakala naib presiden eksekutif Sony Izumi Kawanishi akan menyandang jawatan sebagai presiden dan ketua pegawai operasi.

“Berdasarkan visi kami untuk ‘menjadikan ruang mobiliti bremosi,’ inisiatif Sony dalam perniagaan mobiliti tertumpu pada tiga bidang keselamatan, hiburan dan kebolehsuaian,” kata pengerusi, presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sony Kenichiro Yoshida. “Sementara kami meneruskan pembelajaran kami dalam bidang ini, kami teruja untuk bertemu rakan kongsi, Honda, dengan pencapaian dan pengetahuan global yang meluas, dan untuk menandatangani perjanjian usaha sama antara kedua-dua syarikat.”

“Kami sangat gembira kerana telah menandatangani perjanjian usaha sama dengan Sony, yang mempunyai kekuatan dalam teknologi digital termaju, dan berkongsi keinginan kami untuk menghadapi cabaran baharu. Sejak diumumkan pada bulan Mac, ramai orang telah menyatakan jangkaan mereka untuk usaha sama ini. Di syarikat baharu itu, kami akan berusaha untuk mencipta nilai baharu melalui gabungan yang dihasilkan oleh gabungan industri kami yang berbeza, jadi sila nantikan perkembangan masa hadapan,” kata presiden dan CEO Honda, Toshihiro Mibe.

Usahasama ini merupakan kemajuan terbaharu dari Sony dengan dorongan yang tinggi untuk mula terlibat dalam industri automotif secara langsung. Sebelum ini, Sony pernah menghasilkan model konsep Vision-S yang disebut untuk menunjukkan kebolehan teknologi pengimejan dan hiburannya.

Kereta konsep berkenaan penuh dengan teknologi signatur Sony. Ia dilengkapkan dengan kamera untuk mempertingkatkan penglihatan dan fungsi pemanduan autonomi, pelbagai paparan gergasi pada papan pemuka, perkhidmatan penstriman untuk kandungan TV dan filem Sony yang luas, pembesar suara di perehat kepala, audio bunyi sekeliling dan juga keupayaan penyambungan jauh konsol PlayStation untuk bermain permainan video.

Walaupun Vision-S tersebut hanya untuk menunjukkan teknologi-teknologi yang disebutkan itu, sedan berkenaan dilihat seakan sudah bersedia untuk diproduksi. Malah Sony turut mendedahkan spesifikasinya, termasuk unit rangkaian kuasa yang terdiri dari dua motor elektrik dengan kuasa keseluruahan 536 hp serta pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat.

Kereta tersebut kemudiannya menjalani ujian jalan raya sebenar, sekaligus mendedahkan tujuan sebenar ia dibangunkan – memperlihatkan betapa seriusnya Sony bagi memproduksi kereta elektrik pada masa hadapan. Sony kemudiannya berterus-terang pada Consumer Electronics Show (CES) tahun ini dengan mendedahkan satu lagi model konsep EV iaitu Vision-S 02 yang merupakan SUV tujuh-tempat duduk.

Akhirnya, syarikat itu mengumumkan bahawa mereka memang benar-benar sedang mengkaji untuk masuk ke industri automotif dengan bekerjasama dengan Honda, dan kemudiannya mewujudkan syarikat kerjasama Sony Honda Mobility ini.

The post Sony Honda Mobility ditubuhkan – syarikat usahasama baru bakal hasilkan kereta elektrik Sony pada 2025 appeared first on Paul Tan's Automotive News.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published.