SUKE bakal dibuka tidak lama lagi – lebuhraya bertingkat sepanjang 24.4 km; Sri Petaling-Ulu Kelang

Dengan jarak sepanjang 24.4 km dari Sri Petaling ke Ulu Kelang, Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) mewakili generasi akan datang lebuh raya Malaysia apabila ia dilancarkan tidak lama lagi.

Ditetapkan untuk menjadi lebuh raya bertingkat ikonik di Malaysia apabila siap, lebuhraya ini turut menampilkan jambatan galang kotak bersegmen setinggi 56.4 meter yang merupakan struktur tertinggi yang pernah dibina di Lembah Klang. Jambatan bertingkat ini juga merentangi Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang dan Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga), telah mencatatkan rekod dalam Malaysia Book of Records.

Itu bukan satu-satunya rekod yang dianugerahkan kepada SUKE, kerana satu lagi sejarah yang dicatatkan ialah dengan adanya tanjakan helicoidal (spiral) pertama di negara yang terletak berhampiran persimpangan Cheras-Kajang. Bahagian unik lebuh raya itu juga menerima pengiktirafan Reka Bentuk Lebuhraya Dinamik oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Dengan adanya ciri ini, pemandu akan dapat menikmati pengalaman pemanduan yang tidak dapat dilupakan semasa menggunakan SUKE. Satu lagi ciri unik SUKE ialah ia mempunyai 90% laluannya yang dinaikkan, dengan reka bentuk bercabang (berpecah) yang membolehkan cahaya matahari menembusi ke Sungai Ampang. Selain itu, ia juga mempunyai taman yang terletak di bawah struktur lebuh raya dengan trek pejalan kaki/joging sepanjang 1.6 km.

Tujuan utama lebuh raya ini dibina adalah untuk menggalakkan ketersambungan antara laluan lain, dan SUKE mempunyai 14 persimpangan di sepanjang laluannya di Sri Petaling, Sungai Besi, Alam Damai, Cheras-Kajang, Cheras-Hartamas, Bukit Teratai, Tasik Tambahan, Permai, Kosas, Pekan Ampang, Ampang Point, Ulu Kelang, Hillview dan Bukit Antarabangsa.

Selain itu, SUKE turut menghubungkan beberapa lebuhraya sedia ada, termasuk Lebuhraya Shah ALam (KESAS) dan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2). Malahan lebuhraya ini juga boleh dihubung terus dengan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Grand Saga, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), dan Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE).

Selain memberikan laluan alternatif untuk pengguna jalan raya di Lembah Klang, SUKE juga dikatakan dapat membantu masalah kesesakan lalu lintas di sepanjang MRR2 sebanyak 30%, Jalan Ampang (30%) dan Jalan Loke Yew (12%) ketika waktu puncak. Salah satunya disumbangkan dengan reka bentuk dua laluan tiga lorong, dengan setiap lorong berukuran 3.5 meter lebar untuk mengendalikan jumlah besar kenderaan.

Ciri lain yang ditampilkan ialah dua kawasan lay-bay, satu kawasan rehat dan servis (R&S) di Tasik Tambahan serta tiga plaza tol, termasuk kompleks plaza tol berbilang tingkat tertinggi di negara ini. Ia terletak di struktur dua tingkat di Alam Damai, dengan plaza tol lain berada di Bukit Teratai dan Ampang. Dengan lebih ramai pemandu beralih kepada kenderaan elektrik (EV) di Malaysia, SUKE juga menyediakan enam stesen pengecas EV di sepanjang laluannya untuk menyokong pengguna kenderaan sifar pelepasan.

“Lebuhraya SUKE ini dilihat mampu memberikan impak yang mendalam terhadap usaha untuk mengurangkan kesesakan dan menambah baik aliran trafik, khususnya di bahagian timur Kuala Lumpur,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings (PROLINTAS), Datuk Mohammad Azlan Abdullah.

Tambahnya, “Ia juga memberikan laluan alternatif terbaik untuk pengguna jalan raya, ketersambungan yang lancar dan kebolehcapaian yang lebih baik terutamanya di 14 persimpangan di sepanjang laluan SUKE.” Anak syarikat PROLINTAS, Projek Lintasan Sungai Besi Ulu Klang, bertanggungjawab membina SUKE, dengan kos pembinaan mencecah RM7.5 bilion dan ia mula dibina sejak 2016.

Aspek keselamatan juga sangat diberi keutamaan, dan ia mempunyai lorong kecemasan selebar tiga meter sebagai tambahan kepada tiga lorong biasa. Terdapat juga 40 unit CCTV di sepanjang laluan, dengan setiap satu dipasang pada tiang bersepadu yang menempatkan sistem CCTV, telefon kecemasan dan sensor pengesanan kenderaan – ini membentuk sebahagian daripada sistem kawalan lalu lintas dan pengawasan.

Untuk meminimumkan kesan lebuh raya terhadap alam sekitar dan menggalakkan kemampanan, SUKE dibina dan diperakui dengan sistem penarafan hijau Indeks Bangunan Hijau (GBI). Selain panel solar, lebuh raya ini juga mempunyai sistem penuaian air hujan dan panel e-kaca rendah untuk meminimumkan jumlah cahaya inframerah dan ultraungu daripada memasuki plaza tol bertingkat Alam Damai.

The post SUKE bakal dibuka tidak lama lagi – lebuhraya bertingkat sepanjang 24.4 km; Sri Petaling-Ulu Kelang appeared first on Paul Tan's Automotive News.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published.