Trak pikap Toyota Alphard – projek baharu pelajar Nihon Automotive College (NATS) di Jepun!

Saban tahun, pasti ada sahaja projek yang menggemparkan dari pelajar Nihon Automotive College (NATS) di Jepun yang dipamerkan di Tokyo Auto Salon (TAS). Nampaknya untuk Januari 2023 nanti, NATS bakal membawa sebuah Toyota Alphard yang diubah sebagai sebuah trak pikap!

Kerja-kerja transformasi Alphard berkenaan kini sedang berlangsung, dan foto-foto kemajuan projek itu dimuat naik di laman instagram kolej tersebut. Menerusi lakaran yang dikongsikan, trak pikap Alphard ini bakal menampilkan rupa seakan sebuah trak pikap low rider bersaiz penuh dari Amerika Syarikat seperti Ford F-350, dan ia akan turut membawa motosikal jenis easy rider di belakangnya; sebab itulah ia diberi nama sebagai “Alphard Super Dually”.

Jadi pelajar-pelajar kolej berkenaan telah memotong badan Alphard tersebut bermula pada bahagian belakang pintu gelangsar, bagi memberikan ruang kabin yang masih luas, dan memberikan rupa seakan badan “crew cab” pada Ford F-350. Ini juga membolehkan sistem suspensi belakang jenis bebas pada Alphard berkenaan masih boleh digunakan, dan akan memberikan sudut camber negatif (terkangkang) dan sebahagian roda dapat disembunyikan dalam fender selepas ia direndahkan semahunya nanti.

Badan MPV tersebut dipotong di atas sebuah jig, bagi memastikan bahagian belakangnya kekal tegak ketika disambung semula. Pelajar-pelajar NATS ini telah menghasilkan kerangka baharu bagi menjadikan ia sebahagian dari casis yang dipanjangkan. Setakat ini, bahagian bed belakang dimulakan dengan pemadanan bed dari Toyota Hilux, dan belakang kabin dilihat diberikan pintu hatch yang diambil dari Toyota Probox untuk memberikan akses dari bed ke kabin.

Seperti biasa, Alphard Super Dually ini dijangka akan siap dan dipamerkan di TAS 2023 awal yang akan berlangsung pada awal tahun depan, dan ia adalah projek akhir bagi mereka yang mengambil jurusan Customize di kolej berkenaan.

Untuk pengetahuan anda, NATS mempunyai 750 orang pelajar yang menuntut dalam empat jenis kursus pada satu-satu masa. Secara asas, kesemua pelajar perlu mengambil Kursus Penyelenggaraan selama dua tahun bagi melayakkan mereka diiktiraf sebagai mekanik kelas 2 di Jepun.

Kemudian, mereka boleh memilih untuk menyambung pengajian dalam tiga kursus berbeza iaitu Sukan Permotoran (setahun), Customize (setahun) atau Penyelidikan (dua tahun). Bagi projek jurusan Customize seperti Alphard Super Dually ini, ia dimulakan pada bulan Julai (kursus asas bermula bulan April dan berakhir pada Jun) dan mereka mempunyai masa selama setengah tahun sebelum TAS berlangsung pada Januari tahun berikutnya.

Selepas dipamerkan di TAS, kenderaan ini akan menjalani ujian yang diselia oleh jabatan pengangkutan jalan negara berkenaan. Setelah diluluskan untuk digunakan secara sah di atas jalan raya, pelajar-pelajar berkenaan perlu mengujinya pada jalan raya sebenar yang digelar “Test Run Caravan”. Lengkap kesemua proses ini, barulah mereka diiktiraf lulus dan boleh menamatkan pengajian di NATS.

The post Trak pikap Toyota Alphard – projek baharu pelajar Nihon Automotive College (NATS) di Jepun! appeared first on Paul Tan's Automotive News.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published.