Volkswagen perkenal enjin 1.5 TSI evo2 – ACTplus, modul kawalan emisi baru; kini lebih mesra alam

Walaupun diketahui bahawa Volkswagen kini lebih menumpukan terhadap model-model elektrik penuh (EV), jenama dari Jerman berkenaan masih lagi mengemaskini barisan enjin-enjin pembakaran dalamnya bagi memastikan ia masih relevan dalam pasaran dan terus memenuhi keperluan undang-undang emisi yang semakin ketat.

Ini dia enjin petrol baharu yang diperkenalkan oleh Volkswagen, 1.5 TSI evo2. Ini bukanlah enjin baharu sepenuhnya, sebaliknya adalah versi kemaskini untuk enjin EA211 1.5 liter empat silinder TSI evo yang muncul pada 2016. Enjin ini diberikan beberapa perubahan signifikant yang membolehkan ia memberikan emisi lebih rendah dan juga prestasi lebih baik.

Antara perubahan utama pada enjin baharu ini berbanding versi sebelumnya adalah ia kini menerima catalytic converter tiga hala dan juga penapis zarah petrol (petrol particulate filter) yang lebih dekat dengan enjin, di mana kedua-duanya disatukan dalam sebuah modul kawalan emisi.

Rekaan ini telah mempertingkatkan keberkesanan sistem kawalan emisi tersebut, dan secara tidak langsung mengurangkan penggunaan logam dalam produksi, di mana ia akan menyumbang kepada emisi umum lebih baik pada masa akan datang

Selain itu, sistem Active Cylinder Management (ACT) – sistem yang mampu “mematikan” dua silinder ketika enjin beroperasi – kini turut dipertingkat, digelar sebagai ACTplus. Dengan sistem ACTplus ini, dua silinder di bahagian tengah enjin iaitu silinder nombor-dua dan nombor-tiga kini boleh dimatikan fungsinya ketika enjin beroperasi pada kelajuan dan beban rendah dan sederhana.

Pada masa yang sama, dua lagi silinder yang berfungsi iaitu silinder nombor satu dan nombor empat kini dioptimakan fungsinya bagi memberikan kadar efisien yang lebih baik. Volkswagen turut menyatakan bahawa perubahan fungsi dari empat silinder kepada dua silinder, dan kemudian berubah kepada empat silinder kembali adalah sangat lancar sehingga “sangat sukar untuk disedari.”

Pengecas turbo dengan geometri bervariasi (VGT) masih lagi diberikan pada enjin 1.5 TSI evo2 ini, bersama komponen berteknologi tinggi lain termasuk sistem suntikan bahan api dengan tekanan setinggi 350 bar, dinding silinder yang disalut plasma bagi mengurangkan geseran, serta omboh yang diberikan liang penyejuk bina dalam bagi memberikan pembakaran yang optima bersama kadar efisien yang dipertingkat.

Buat permulaan, enjin 15 TSI evo2 ini akan hadir dalam versi talaan 150 PS. Model pertama yang akan dipadankan crossover Volkswagen T-Roc dan T-Roc Cabriolet, serta akan dikembangkan pada model lain menjelang akhir tahun ini.

Enjin ini juga direka untuk beroperasi dengan bahan api yang mengandungi bahan dari sumber tenaga boleh diperbaharui, untuk memastikan ia bersedia untuk memenuhi keperluan undang-undang akan datang. Ia juga bersedia untuk dipadankan dengan sistem hibrid elektrik dalam pelbagai tahap, contohnya diganding bersama sistem plug-in hybrid (PHEV) bagi menghasilkan kuasa sehingga 272 PS.

Menurut Volkswagen, mereka mensasarkan 70 peratus dari jualan kenderaan mereka adalah EV menjelang 2030. Oleh itu, enjin pembakaran dalaman sedia ada masih perlu dikemaskini setiap masa kerana dua sebab utama; pertama bagi memastikan ia masih memenuhi standard emisi global contohnya Euro 7, dan kedua kerana enjin pembakaran dalam masih lagi popular di banyak pasaran, terutama di negara dengan kemajuan infrastruktur pengecas EV yang perlahan.

The post Volkswagen perkenal enjin 1.5 TSI evo2 – ACTplus, modul kawalan emisi baru; kini lebih mesra alam appeared first on Paul Tan's Automotive News.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published.